mutakhir

Tujuh saksi sudah beri keterangan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TUJUH saksi sudah memberi keterangan termasuk ahli keluarga mangsa kes tetak Timbalan Pengerusi Veteran Umno Kelantan Datuk Kamaruddin Abdullah setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan di semua aspek termasuk kaitan penyaluran maklumat berhubung kes dadah dan perkembangan terkini mengenai kes berkenaan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya tidak dimaklumkan oleh mangsa mengenai maklumat dadah itu ketika keterangannya diambil.

“Menerusi keterangan mangsa, beliau (Datuk Kamaruddin) tidak memaklumkan kes berkenaan (tetak) ada kaitan berhubung maklumat dadah yang disalurkannya kepada pihak polis sebagaimana dakwaan anaknya.

“Selain itu, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga gagal mendapat pengecaman penuh suspek,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan anak kepada Kamaruddin, Datuk Shahrul Nasrun, 33, tidak menolak kemungkinan motif dua lelaki yang menyerang bapanya dalam kejadian itu berkaitan dengan kes dadah.

Shahrul Nasrun mendakwa ia berikutan bapanya yang berusia 67 tahun sebelum ini banyak memberi maklumat berkaitan kes dadah kepada polis.

Dalam kejadian 7.30 malam pada 28 Julai lalu, Kamaruddin parah selepas ditetak dan dikelar di pinggang serta perut oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan kedai di Jalan Tengku Chik.

Berita berkaitan

Veteran UMNO ditetak

'Bakpo buat aku?'

Suspek tetak veteran UMNO diburu

'Mungkin maklumat dadah'

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 7:57pm
d