mutakhir

Malaysia diperdaya benar operasi Lynas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu membenarkan kilang Lynas Advanced Materials Plant beroperasi (Lynas) di negara ini adalah kerana diperdaya dan ditipu kerana menyangkakan ia adalah satu industri yang strategik.

Menurutnya, Malaysia sebelum ini berpendapat kewujudan kilang nadir bumi itu akan memberi manfaat dan kebaikan kepada negara tetapi hakikatnya berlaku sebaliknya.

Beliau berkata, sejak Lynas mula beroperasi pada 2012, lebih satu juta tan metrik sisa terjadual dan 500,000 tan metrik sisa buangan radioaktif ‘water leach purification’ (WLP) disimpan di Gebeng, Kuantan yang bukannya struktur penyimpanan kekal.

“Sisa radioaktif berkenaan mengandungi bahan yang dipanggil thorium di mana ia adalah bahan penyebab kanser dan akan mudah masuk ke dalam ekosistem alam sekitar kita.

“Walaupun mereka mengatakan kesan radiasinya berada pada tahap rendah tetapi jangka hayatnya yang panjang iaitu 14 bilion tahun sudah tentu memberikan kesan buruk kepada kesihatan awam dan juga alam sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya dalam surat terbuka yang dikirimkan dari Makkah, hari ini.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, ribuan peluang pekerjaan yang kononnya ditawarkan pada awal kemasukan kilang itu terbukti hanyalah sekadar janji apabila hanya 600 peluang pekerjaan wujud setakat ini.

Menurutnya, ia jelas sekali industri yang dikatakan strategik itu langsung tidak berbaloi kerana tiada manfaat atau hasil secara langsung yang diterima oleh kerajaan dari Lynas.

“Kerajaan terdahulu tidak meletakkan syarat untuk menghantar pulang sisa WLP ke Australia sebagai syarat utama penganugerahan lesen operasi buat Lynas, malah langsung tidak berunding dengan kerajaan Australia berhubung perkara itu.

“Lebih malang apabila kerajaan terdahulu terpedaya dengan helah Lynas dan terus memberikan taraf ‘strategic pioneer status’ kepada kilang berkenaan,” katanya.

Menurutnya, beliau tetap dengan pendiriannya dan menegaskan kilang Lynas berkenaan tidak wajar dibenarkan beroperasi kerana ia akan terus menjana sisa buangan radioaktif yang akan memberi akibat negatif jangka masa panjang.

“Saya berharap kerajaan dapat membuat keputusan yang terbaik berhubung status permohonan pembaharuan lesen Lynas pada 15 Ogos ini,” katanya.

Lynas sudah membuat permohonan pembaharuan lesennya pada 2 Ogos lalu iaitu sebulan sebelum lesen mereka tamat pada 2 September depan.

Dalam pada itu, Fuziah juga menyatakan kekesalannya terhadap sikap segelintir anggota Kabinet terutamanya bekas ahli Barisan Nasional (BN) yang masih terus terpedaya dengan helah Lynas dan dilihat memahami isu berkenaan dari kaca mata penilaian kerajaan terdahulu yang sememangnya terbukti gagal memahami sedalamnya isu berkenaan.

“Mereka menganggap ia adalah isu politik dan terus kekal dalam kefahaman itu, tambahan pula isu Lynas ini agak teknikal dan mungkin itu juga sebab mereka gagal memahaminya.

“Mereka ini jugalah yang pada hari ini bersungguh-sungguh mempertahankan Lynas untuk terus beroperasi,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 10:30pm
d