mutakhir

Tragedi berkelah di sungai

Oleh Garret Dawum

KEGEMBIRAAN 20 sekeluarga berkelah di sungai berhampiran Rumah Panjang Akun, Jalan Kampung Nanga Matop, Julau semalam berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa, Malcolm Powell Alphonsus Spung, 14, ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke sungai terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang dihanyutkan arus bersama adiknya.

“Namun adik mangsa berjaya menyelamatkan diri. Penduduk kampung yang dimaklumkan berkenaan kejadian itu melancarkan usaha mencari dan menyelamat mangsa.

“Mangsa yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar ke Klinik Kesihatan Julau,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, mangsa yang mengalami pendarahan telinga dan mulut disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Julau.

Menurutnya, ibu mangsa memberitahu mereka sekeluarga menaiki lima kenderaan pergi ke lokasi untuk berkelah bersama kenalan yang tinggal di rumah panjang itu.

“Kami menerima laporan kejadian pada 2.31 petang dan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor serta enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Merah dikejarkan ke lokasi,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 12:43pm
d