mutakhir

Rampas telekung tiruan berjenama

Oleh Badrul Kamal Zakaria

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Muar merampas 127 pasang telekung tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM11,340 dalam Ops Barang Tiruan di sebuah tapak ekspo di Tangkak, Muar, semalam.

Ketua KPDNHEP Cawangan Muar, Rizq Fazliana Abd Hamid berkata, pemeriksaan Ops Barangan Tiruan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan pemilik cap dagang berkaitan penjualan produk jenama itu disyaki menggunakan cap dagang palsu.

“Lima anggota KPDNHEP Cawangan Muar bersama dua wakil syarikat membuat serbuan di tapak ekspo kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

“Berikutan itu, kami mengambil tindakan terhadap sebuah premis menjual pakaian kerana menawar untuk membekalkan satu perihal dagangan palsu dan merampas 127 pasang telekung berjenama bernilai RM11,340,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat KPDNHEP Cawangan Muar, hari ini.

Rizq Fazliana berkata, peniaga dikesan menjual telekung tiruan pada harga serendah RM90 sepasang berbanding produk asli dijual berharga RM146.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang wanita berusia 40 tahun berada di dalam premis dan kami turut merakamkan percakapannya bagi membantu siasatan.

“Kita juga masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP Muar akan terus menjalankan operasi terhadap mana-mana premis didapati menjual barangan tiruan termasuk jenama itu pada masa akan datang.

“Semua peniaga dinasihatkan mematuhi undang-undang dan tidak terbabit dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan. Pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika membuat pembelian dengan memastikan produk dibeli adalah tulen.

“Sekiranya ada sebarang maklumat atau aduan, pengguna boleh menghubungi kami di talian 06-9521094 atau menggunakan aplikasi ez-adu.

“Pengguna juga boleh mengemukakan aduan mereka ke emel eaduan@kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke KPDNHEP Cawangan Muar di Bangunan Persatuan Hokkien di Jalan Salleh,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 1:23pm
d