mutakhir

Geng curi komponen motosikal 'besar' tumpas

Oleh Hadzlihady Hassan

DUA bertindak sebagai pencuri manakala seorang lagi ‘mastermind’ yang mengatur rancangan dan menjual barang curi kepada pembeli.

Itu dilakukan tiga lelaki yang mensasarkan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan mencuri komponen jentera itu sebelum dijual murah.

Mereka yang berusia 23 hingga 31 tahun itu ditahan 3.20 petang di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam Sabtu serta Ahad lalu.

Penahanan mereka itu dilakukan susulan laporan yang dibuat penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Thailand yang menginap di sebuah hotel di Jalan Macallum, Georgetown selepas komponen motosikalnya dan dua lagi rakan didapati hilang 6.25 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, semua penunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit singgah di negeri itu selepas berkonvoi dari ibu kota sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand.

Menurutnya, dalam kejadian itu suspek mencuri tiga unit angkup brek, dua pam brek, sebuah topi keledar jenama BMW, dua set kotak peralatan dan alat pengecas motosikal yang jumlah semuanya dianggarkan RM40,000.

“Susulan laporan dibuat mangsa, kita berjaya menjejaki dan menahan semua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu dan merampas semula barang dicuri mereka.

“Kita juga turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk mencuri komponen motosikal dan hasil pemeriksaan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan dengan penahanan mereka polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi komponen motosikal berkuasa tinggi di daerah itu.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 2:55pm
d