mutakhir

Rentung dalam kabin

Oleh Ahmad Ismail

PENYELIA pusat mencuci kereta automatik ditemui mati dengan 80 peratus tubuhnya terbakar dipercayai terperangkap dalam kebakaran di pekan Labis, 9.50 pagi tadi.

Mangsa, Tan Boon Giap, 57, ditemui mati dan tersekat di belakang pintu kabin itu sebelum ditemui pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran termasuk kebakaran lalang di kawasan sama bermula 9.56 pagi.

“Berikutan itu, empat jentera termasuk dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Labis dan Bandar Putra dengan 15 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Apabila tiba, kami dapati api marak dan anggota terpaksa memecahkan pintu kabin namun tersekat dari dalam sebelum menemui mayat mangsa dengan kesan kebakaran 80 peratus.

“Pada masa sama, anggota kami cuba mengawal api di bahagian luar menggunakan sumber air jentera bomba serta pili bomba awam yang terletak kira-kira 400 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kabin seluas 50 x 30 kaki itu musnah 80 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.45 pagi.

Katanya, pegawai dan anggota Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan laporan lengkap dijangka diperolehi dua minggu lagi.

Sementara itu penolong pengurus pusat cucian kereta itu, Lau Meng Seah, 43, berkata, mendiang Tan dikenali kakitangan yang rajin dan komited dengan kerjanya.

“Pusat cuci kereta beroperasi dari 8.30 pagi sehingga 9.30 malam dan mendiang biasanya pekerja terakhir meninggalkan pusat cuci itu.

“Ketika kejadian, beberapa rakan cuba memanggilnya keluar dari kabin yang dijadikan pejabat urusan dan tempat rehat, kami cuba membuka pintu kabin namun tidak berjaya.

“Ketika itu, terdapat 10 pekerja dan sedih kerana tidak sempat menyelamatkannya,” katanya.

Mendiang meninggalkan enam anak berusia 20 hingga 30-an.

Menurutnya, pusat cucian itu beroperasi sejak empat tahun lalu dan mangsa bekerja di situ sejak dua tahun lalu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 3:46pm
d