mutakhir

Semua polis dah keluar hospital

Oleh BERNAMA

EMPAT anggota polis yang dimasukkan ke hospital selepas membuat pemeriksaan terhadap 15 tong bahan kimia di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong sudah dibenarkan pulang.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, dua daripada mereka dibenarkan pulang petang semalam manakala bakinya hari ini.

“Mereka bagaimanapun masih diberikan cuti rehat, bagi memastikan benar-benar pulih sebelum kembali bertugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Jalil berkata, daripada keterangan lapan anggota sarjan dan konstabel itu, mereka mengalami pening kepala dan loya tidak lama selepas berada di lokasi, dipercayai selepas terhidu bahan kimia itu.

Katanya, semua anggota terbabit meminta izin untuk pulang kerana tidak sihat, selepas ketibaan pasukan Jabatan Alam Sekitar dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Mereka juga meminta kebenaran pegawai atasan untuk dilepaskan daripada tugasan lebih awal, namun sebagai langkah berjaga-jaga, pegawai atasan mengarahkan mereka ke klinik kesihatan dengan empat daripadanya dimasukkan ke Hospital Bentong,” katanya.

Abd Jalil berkata, pihaknya kini menyiasat asal bahan kimia dipercayai sodium sianida dalam bentuk pepejal itu yang lazimnya digunakan dalam perlombongan emas bagi mencuci bahan galian itu.

“Kita melihat jika ada unsur jenayah dalam penemuan bahan kimia itu, jika ia dicuri dari lombong berhampiran atau di tempat lain dan mahu dijual kepada pengusaha lombong sekitar,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan empat anggota polis ditahan di hospital manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar selepas mengadu tidak sihat selepas membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Sodium sianida itu mungkin untuk dijual

Anggota polis sudah keluar wad

Lapan anggota polis terhidu gas sodium sianida

Siapa pemilik tong hitam di Karak?

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 4:45pm
d