mutakhir

Ketua cabang PKR ada hak sokong

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MANA-MANA Ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara mempunyai hak untuk menzahirkan sokongan kepada Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi cara tersendiri, termasuk kaedah mengumpul tanda tangan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sudah menjadi lumrah dalam politik apabila ada ahli yang mahu menyatakan sokongan terhadap pemimpin menerusi cara tertentu.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, ia lumrah dalam berpolitik apabila ada sejumlah ketua cabang mahu menyatakan sokongan kepada presiden.

“Pada saya tidak mengapalah, biar kita proses itu, (kumpul tanda tangan) bukanlah menjejaskan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir sesi dialog menteri bersama belia, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha hari ini yang menyifatkan kaedah mengumpul tanda tangan itu sebagai membuang masa.

Menerusi laporan sebuah portal, Haniza dipetik berkata, perbuatan mengambil tanda tangan tidak menyatukan, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.

Selain itu, Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 ketua cabang PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa, semua ketua cabang itu sudah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperoleh berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 4:53pm
d