mutakhir

'Rasa berdebar jadi tenang jumpa Agong'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“BAGAI mimpi jadi realiti. Saya tak sangka dapat berpeluang bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Raja Permaisuri Agong

(Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) depan mata,” kata Maryana Mahat, 43.

Maryana adalah individu yang terbabit kemalangan di Jalan Susur dari arah Istana Negara menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, dia dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor menuju ke tempat kerja sebelum Toyota Vios dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok batu di bahu jalan.

Maryana berkata, selepas kejadian itu, dia dibantu dua penunggang motosikal dan pemandu kereta sebelum menghubungi suaminya, Nazrul Fuad Kostor, 45, supaya datang ke lokasi.

“Beberapa minit selepas suami sampai, saya menunggu di dalam keretanya kerana hujan renyai sebelum melihat kelibat beberapa individu berpakaian kemas menghampiri suami yang berada di luar kenderaan.

“Saya kemudian keluar dari kereta dan terkejut melihat individu yang bersalaman dengan suami adalah Yang di-Pertuan Agong. “Malah baginda turut bertanyakan keadaan saya yang masih berdebar akibat kemalangan itu.

“Saya yang masih terkejut dengan kehadiran baginda mendengar suara dari dalam kenderaan. Selepas tingkap kenderaan itu dibuka, saya nampak Tunku Hajah Azizah melambai tangan dan saya sempat berborak serta bersalaman dengan baginda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia yang juga kerani bank berkata, keprihatinan Tuanku Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah menyebabkan perasaan berdebar dialaminya akibat kemalangan itu bertukar tenang.

“Dalam tempoh beberapa minit baginda berdua meluangkan masa bertanyakan keadaan saya benar-benar menyentuh hati saya. “Selama ini, saya kerap berborak mengenai kebaikan baginda berdua, namun tidak menyangka dapat bertemu depan mata apatah lagi dalam keadaan ditimpa musibah.

“Saya dan suami merasakan kami insan bertuah kerana diberi peluang bertemu baginda yang sangat prihatin,” katanya yang menyifatkan baginda berdua amat baik hati.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah turun dari kenderaan rasmi baginda untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan sebelum kejadian itu tular di media sosial selepas video dimuat naik dalam akaun Instagram Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah yang berbaju Melayu putih, bersongkok dan bersampin dilihat bertanyakan sesuatu wanita terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati wanita itu tersalah jalan lalu membuat pusingan U di hadapan Pintu Istana Negara.

“Selepas membuat pusingan U, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar tembok batu sebelum berpusing dan berhenti.

“Ketika kemalangan itu, lalu lintas tidak sesak dan keadaan jalan basah kerana hujan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita berkaitan

Agong yang prihatin [METROTV]

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 6:26pm
d