mutakhir

Mayat reput tepi pantai

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

AKTIVITI sekumpulan remaja di Kampung Telisai, dekat Tungku, bersantai terbantut apabila mereka menemui satu mayat reput terdampar di pesisir pantai berkenaan, semalam.

Terkejut dengan penemuan itu, kumpulan remaja berkenaan segera pulang ke kampung bagi memaklumkan kepada ketua kampung.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima laporan daripada ketua kampung, Alisto Hussin, 54, yang memaklumkan penemuan mayat itu.

Katanya, berdasarkan laporan itu, sepasukan polis dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan membawa keluar mayat berkenaan.

“Setakat ini, identiti sebenar mayat belum dapat dikenal pasti berikutan keadaannya yang sudah reput.

“Lokasi penemuan terletak di pesisir pantai, manakala pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, mayat itu dipercayai seorang lelaki namun usia mangsa belum dapat dikenal pasti.

Katanya, mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.

Sehubungan itu, Nasri meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 9:00pm
d