mutakhir

Ajal tercampak dari kereta

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

REMAJA lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer (KM) 438.2 Lebuh Raya Utara Selatan dari arah Sungai Buaya menghala ke Rawang, di Gombak, hari ini.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada tayar kenderaan itu yang pecah.

Dalam kejadian 6.18 petang itu, bapanya, Mohd Fadzlie Mohd Yusop, 48, bersama mangsa, Muhammad Iqhrul Mohd Fadzlie, 17, menaiki Naza Citra Rondo dari arah Sungai Buaya menghala ke Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba tayar kiri pecah menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan sehingga enjin kenderaan tercabut.

Menurutnya, remaja terbabit pula terpelanting keluar menyebabkannya parah di kepala serta badan, sebeluam meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, sebuah Proton Exora dipandu lelaki berusia 24 tahun tidak sempat mengelak dan melanggar enjin yang berada di atas jalan.

“Mohd Fadzlie patah kaki kanan, manakala anaknya yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsor berkata, seorang lagi pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kenderaan tidak dapat dikenal pasti di KM5 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Sentul ke susur Greenwood Park, Gombak, hari ini.

Menurut Samsor, kemalangan berlaku pada jam 5.45 petang apabila mangsa, Mohammad Khairul Anuar Ismail, 33, yang datang dari arah Sentul menghala ke Gombak dipercayai bergesel kenderaan berat.

"Akibatnya mangsa terjatuh dan terseret 10 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan usaha mengesan kenderaan dan saksi bebas sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan motosikal terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222.

“Kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 10:04pm
d