mutakhir

Bahan kimia dah dilupuskan, dalangnya mana?

Oleh BERNAMA

SEMUA 15 tong berisi bahan kimia natrium sianida ditemui di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong, Khamis lalu, sudah dipindahkan ke lokasi selamat sebelum dilupuskan mengikut cara betul.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, operasi pemindahan dilakukan Ahad lalu oleh kontraktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Menurut Mohd Sharkar, proses pemindahan itu diselia rapi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Tiada sebarang kejadian tumpahan atau kebocoran berlaku ketika aktiviti pemindahan dijalankan. Semua 15 tong bahan ini juga sentiasa berada dalam keadaan tertutup dengan kemas sejak ditemui sehingga dipindahkan.

“Selepas proses pemindahan dilaksanakan, Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng mengambil bacaan udara di ladang kelapa sawit dan mengesahkan tiada bacaan hidrogen sianida,” katanya di Kuantan, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, pihak berwajib termasuk PDT Bentong, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan Jabatan Pengairan dan Saliran daerah sudah melakukan serbuan ke lombong emas di Bentong yang disyaki berkemungkinan menggunakan bahan kimia itu.

Natrium sianida sering digunakan dalam perlombongan emas iaitu bagi mencuci bahan galian berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati premis lombong emas itu tidak menggunakan bahan kimia ditemui dan kita sedang menggiatkan usaha mencari dan mengenal pasti dalangnya,” katanya.

Mengulas mengenai laporan lapan anggota polis menerima rawatan perubatan kerana mengadu tidak sihat selepas melakukan pemeriksaan awal di lokasi kejadian, Mohd Sharkar mengesahkan semua mereka berada dalam keadaan stabil.

Katanya, semua anggota termasuk empat yang dimasukkan ke wad Hospital Bentong adalah sebagai langkah berwaspada oleh pihak kesihatan walaupun ujian dilakukan sama ada mereka terjejas dengan bahan kimia itu adalah negatif.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 9:16am
d