mutakhir

2.6 tan dadah dirampas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEJUMLAH 2.6 tan dadah yang dianggarkan bernilai RM89.6 juta dirampas dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan kerjasama Polis Indonesia bagi tempoh 2017 hingga Julai 2019.

Pengarah JSJN Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, nilai pelbagai jenis dadah yang dirampas itu membabitkan 29 operasi.

“Dalam tempoh itu juga, 99 individu yang terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah ditahan.

“Jika dilihat jumlah ini, ia memang banyak namun kami masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai memandangkan banyak dadah terutama syabu dibawa masuk ke negara ini dengan menggunakan laluan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Dua Hala ke-12 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dengan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di

Genting Highlands hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu adalah rakan sejawatnya dari Indonesia, Brigadier Jeneral Drs Eko Daniyanto.

Mohd Khalil berkata, pihaknya dengan pihak berkuasa Indonesia juga akan memberi tumpuan dan penekanan kepada kawasan perairan dalam mengekang aktiviti penyeludupan dadah daripada terus berleluasa.

“Dalam hal ini, kami mendapati sindiket penyeludupan dadah kerap menggunakan kawasan perairan sebagai modus operandi.

“Justeru, kami akan meningkatkan kawalan di kawasan perairan bagi mengekang kegiatan itu dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia.

“Pada masa sama, kami juga menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain mengikut keperluan,” katanya.

Mengulas mengenai operasi besar-besaran yang akan dilakukan pihaknya bersama Polis Indonesia, beliau memaklumkan ia akan dilakukan namun tidak mahu mengulas lanjut.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 12:50pm
d