mutakhir

Tukang masak gantung diri

Oleh Hadzlihady Hassan

TUKANG masak lelaki ditemui maut selepas menggantung diri dalam bilik air di Flat Jalan Kedah, Georgetown semalam.

Dalam kejadian 7.35 malam itu, mayat lelaki berusia 56 tahun berkenaan ditemui pemilik rumah yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak di Jalan Macalister di sini menyewa bilik di rumah berkenaan.

Menurutnya, rumah itu ada tiga bilik dan ia didiami pemilik rumah, anaknya dan juga tukang masak terbabit.

“Hasil keterangan pemilik rumah, dia mendakwa mangsa sebelum ini tinggal bersama wanita warga China namun wanita itu sudah pulang ke negara asal bulan lalu.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut turut menemui sekeping nota dalam Bahasa Cina yang tertera perkataan ‘ini nombor telefon ibu saya’ namun apabila dihubungi seorang wanita yang menjawab panggilan telefon mendakwa tidak mengenali mangsa,” katanya.

Che Zaimani berkata, polis turut menemui sekeping lagi nota yang tertera angka hampir 60,000 dipercayai mempunyai hubung kait dengan hutang yang dibuat tukang masak berkenaan.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 2:49pm
d