mutakhir

Menipu lagi...

Oleh Nur Izzati Mohamad

LIMA lelaki yang memperdaya dan menipu mangsa dengan menawarkan pinjaman tidak wujud di Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu tumpas selepas ditahan polis di sebuah kondominium di Lebuh Kudin, Gelugor, Georgetown Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya menjalankan risikan selepas menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa dirinya ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud April lalu.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang tertarik dengan tawaran itu namun tidak menyangka tertipu hingga mengalami kerugian RM3,000.

“Mangsa pada mulanya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan sindiket menawarkannya pinjaman RM1,000.

“Selepas memberikan butiran peribadi dan akaun bank, sindiket hanya memasukkan wang RM500 sebelum meminta mangsa menjelaskan kembali pinjaman itu dengan kadar faedah tidak masuk akal,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan terpaksa membayar sehingga RM3,000 dan dia kemudian membuat laporan polis kerana ditipu.

“Melalui maklumat dan hasil risikan, polis berjaya menjejaki dan menahan lima lelaki berusia 23 hingga 32 tahun dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mengiklankan pinjaman wang tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.

Anbalagan berkata, suspek melakukan penipuan sehingga semua mangsa terpedaya dan kerugian mencecah RM98,000.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 21 telefon bimbit dan 26 kad pengeluaran wang automatik (ATM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 3:51pm
d