mutakhir

247 PATI kerja kilang ditahan [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BIARPUN ada yang cuba meloloskan diri, namun kecekapan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menahan 247 warga asing yang bekerja haram di kilang konkrit dekat Jalan Seelong, Senai, hari ini.

Dalam Ops Mahir pada 10.30 pagi, mereka yang ditahan hasil pemeriksaan ke atas 559 pekerja warga asing di kilang berkenaan.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan dan risikan yang dibuat ke atas premis dipercayai beroperasi lebih 10 tahun.

Katanya, pengurusan kilang disyaki mengambil pekerja warga asing tanpa permit sah.

“Risikan mengambil tempoh yang secukupnya sebelum serbuan hari ini. Seramai 115 pegawai dan anggota penguat kuasa terbabit operasi yang memeriksa 559 pekerja warga asing.

“Daripada jumlah itu, 247 ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 antaranya kerana tidak mempunyai permit sah selain menyalahi permit.

“Ada warga asing cuba melarikan diri tetapi kita berjaya menanganinya dan keseluruhannya tidak hadapi masalah,” katanya pada sidang media selepas Ops Mahir, hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan adalah 231 warga Bangladesh, sembilan Indonesia, seorang India dan enam Pakistan berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Selain itu, Baharuddin berkata, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas wanita tempatan daripada Bahagian Sumber Manusia yang mewakili majikannya, mengikut Seksyen 55E akta sama kerana mengambil pekerja sama ada seorang atau lebih selain warganegara atau pemegang permit masuk yang tidak memiliki satu pas yang sah.

“Kita juga boleh menyiasat majikan ini mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya melanggar peruntukan akta dan kertas siasatan akan dibuka terhadap majikan ini sekiranya didapati ada melakukan kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, 12,292 warga asing diperiksa sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu dan daripada itu, 3,578 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, sepanjang tempoh itu, 87 majikan ditahan dan didakwa dan PATI yang sudah diambil tindakan membabitkan 1,322 Indonesia, Bangladesh (658), India (298), Myanmar (296), Thailand (222), Pakistan (215) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.

Beliau berkata, seramai 5,403 PATI sudah diusir ke negara asal masing-masing.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 4:52pm
d