mutakhir

Dendam punca ahli perniagaan ditembak

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DENDAM dipercayai menjadi punca ahli perniagaan berusia 63 tahun ditembak tiga das sebelum meninggal dunia dalam kejadian di Jalan Air Putih, Kuantan, hari ini.

Menurut sumber, mangsa berhenti untuk meletakkan kenderaan di kawasan rumah sewanya sebelum didatangi suspek tidak dikenali yang menembaknya dari jarak dekat.

Katanya, selepas ditembak, mangsa sempat memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima beberapa kilometer dari lokasi rumah sewanya sebelum berhenti di hadapan premis menjual ubat.

“Mangsa sempat mendapatkan pertolongan orang ramai sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Lelaki terbabit kemudian disahkan meninggal dunia ketika ingin mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa yang berasal dari Johor Bahru ditembak di Jalan Air Putih selepas pulang dari pusat hiburan di Kuantan pada 1.30 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa turut bersama rakannya yang juga lelaki berusia 47 tahun.

Katanya, rakan mangsa yang lari menyembunyikan diri ketika tembakan dilepaskan ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan ketika dihubungi memaklumkan lelaki terbabit direman seminggu hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

'Ahli perniagaan mati ditembak'

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 4:56pm
d