mutakhir

Dasar anak derhaka...

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

TIDAK puas hati ditegur bapa kerana meletak motosikal di dalam rumah, seorang lelaki tergamak mengejar bapanya dengan parang selain mengugut untuk membunuhnya.

Berikutan itu bapanya berusia 70 tahun membuat laporan polis dan suspek ditahan pada 12.10 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian berlaku pada 5 pagi semalam ketika mangsa berusia 70 tahun bangun untuk menunaikan solat Subuh.

Katanya, mangsa menegur anak lelakinya yang berusia 34 tahun apabila melihat motosikal berada di dalam rumah mereka di FELDA Pasoh, Jempol dan memintanya meletakkan di luar rumah.

“Disebabkan teguran itu, suspek marah dan menendang peralatan di dalam rumah.

“Dia kemudian ke dapur dan mengambil parang, lalu mengejar mangsa sambil mengugut untuk membunuh mangsa.

“Mangsa ketakutan, berlari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pada 1 tengah hari semalam dan laporan itu membolehkan suspek ditahan tengah malam tadi.

“Suspek tinggal di rumah berkenaan bersama kedua orang tuanya dan siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya.

Menurutnya, dia juga direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 5:10pm
d