mutakhir

JHWE bantu jemaah uzur

Oleh Yusri Abdul Malek

USIANYA menjangkau 80 tahun dan tahun ini rezekinya menjadi tetamu Allah mengerjakan haji.

Namun begitu, faktor usia mencemburuinya apabila pancaindera utama iaitu penglihatan dan pendengaran semakin lemah.

Bagi Che Hamzah Ngah Ismail, dari Kampung Titi Gantung, Bota Kiri, Perak yang juga pesara tentera, dia akan tetap melaksanakan rukun Islam kelima itu dengan bantuan isterinya, Naemah Abu Karim, 75.

Tanpa Naemah, Che Hamzah bagaikan hilang arah dan memerlukan isterinya itu sentiasa ada bersama sepanjang masa.

"Suami ada darah tinggi tetapi penyakit lain tiada. Tapi daya ingatan semakin kurang, suami tidak ingat banyak perkara dan saya yang menguruskannya ketika di rumah.

"Di sini, ada rakan sebilik membantu. Suami juga tidak ingat bila waktu makan atau solat. Jika orang bagi makan, suami akan makan begitu jika jika disuruh solat, dia akan solat," katanya ketika ditemui menemani suaminya untuk di temu duga bagi menyertai program Jemaah Haji Warga Emas (JHWE) di Hotel Land Premium, di Makkah.

Melalui program ini mana-mana warga emas berusia 75 tahun ke atas yang mengalami keuzuran terutama sindrom hilang ingatan atau pelupa dan memerlukan bantuan ketika berwukuf akan diberikan pembantu untuk membantu mereka dalam segala hal ketika di masyair.

Naemah berkata, suaminya memang perlu dibantu bagi melancarkan ibadah hajinya.

"Saya ada juga membantu tetapi dalam keadaan berada di Arafah yang penuh dengan orang, saya pun tak mampu menjaganya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Bimbingan Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, program JHWE ini sudah hampir 18 tahun dijalankan bertujuan membantu jemaah haji warga emas yang lanjut usia dan datang seorang diri serta mengalami sindrom lupa.

"Dulu sebelum ada program ini, ada jemaah haji lanjut usia yang berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina hilang serta gagal dikesan walaupun selepas musim haji.

“Berikutan itu, satu kajian dibuat dan diputuskan perlu ada program khas untuk membantu warga emas yang ada masalah ingatan ini," katanya pada sidang media di Hotel Abraj Al Janadriyah.

Beliau berkata, selepas program ini dilancarkan, masalah warga emas yang hilang dan sesat ini dapat diatasi.

"Setiap tahun, seramai 50 jemaah haji akan dipilih. Mereka akan dibantu dan dijaga Pembantu Petugas Haji (Patuh) sepanjang masyair. Khemah mereka juga diletakkan berhampiran tandas dan bas khas turut disediakan.

"Sebelum dipilih warga emas terbabit akan menjalani temu duga iaitu untuk mengetahui pengetahuannya mengenai ibadah haji, kesihatan tubuh dan kaunseling sama ada mereka mampu menjaga diri serta berdikari," katanya.

Beliau berkata, selepas menjalani temu duga itu dan didapati layak, mereka akan dimasukkan dalam program ini.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 6:36pm
d