mutakhir

Pemetik api bakar Tahfiz Darul Ittifaqiyah

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Tinggi, Kuala Lumpur hari ini, dimaklumkan bahawa pemetik api yang didakwa digunakan untuk membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dua tahun lalu disimpan di atas meja di bilik tidur rumah seorang daripada tertuduh.

Perkara itu diberitahu saksi pendakwaan ke-66, Asisten Superintendan Mohd Shafizan Sazali yang memaklumkan tertuduh itu yang kini berusia 18 tahun memberitahu demikian ketika soal siasat polis.

Mohd Shafizan berkata, tertuduh memberitahu kepadanya bahawa,

“Pemetik api yang digunakan ketika kejadian telah disimpan di atas meja kecil di dalam bilik tidur di rumah saya. Pemetik api itu berwarna merah.

“Saya boleh menunjukkan tempat pemetik api disimpan,” katanya.

Pegawai Risikan, Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman itu dalam penyata saksi memberitahu, dia kemudian menjadikan kenyataan tertuduh berkenaan sebagai maklumat mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim kemudian menyoal berhubung penemuan pemetik api adalah di atas katil tetapi dalam penyata saksi, pegawai polis itu memberitahu ia disimpan atas meja kecil.

Ketika diminta Julia untuk menjelaskan keadaan itu, Mohd Shafizan berkata, terdapat pemetik api lain tetapi yang dirampas hanya yang ditunjuk kepadanya iaitu yang ditemui di atas katil.

Dia berkata demikian pada prosiding perbicaraan kes dua remaja lelaki yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan dalam tragedi berkenaan.

Kedua-dua remaja itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Kedua-duanya yang kini berusia 18 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar, masing-masing didakwa atas 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-65, Asisten Superintendan Zahiruddin Baharum, 43, menerusi penyataan saksi memberitahu mahkamah, pihak polis telah menangkap lima lelaki dalam siasatan kes berkaitan tragedi kebakaran itu pada 16 September 2017.

“Saya terangkan kepada mereka tujuan kehadiran polis dan minta mereka menunjukkan baju dan seluar yang dipakai serta kenderaan yang digunakan pada 13 September hingga 14 September 2017,” katanya.

Menurutnya, dia dan pasukan turut membuat rampasan iaitu tiga motosikal, dua telefon bimbit dan pakaian masing-masing termasuk kemeja T, seluar, tali pinggang milik lima remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun.

“Di akhir pemeriksaan, saya dan pasukan telah membuat tangkapan ke atas penama (merujuk kepada lelaki yang dijumpai) pertama hingga kelima dan merampas kesemua barang-barang yang ditunjukkan untuk dijadikan sebagai keterangan dalam kes,” katanya pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi.

Pada prosiding itu juga, saksi berkenaan yang kini bertugas sebagai Pegawai Penyelaras di Maktab Polis Diraja Malaysia mengecam penama keempat dan kelima adalah tertuduh pertama dan kedua dalam kes itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 7 Ogos.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 7:48pm
d