mutakhir

Pencuri skuter kantoi di pasar karat [METROTV]

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

TINDAKAN seorang lelaki menjual skuter elektrik yang dicurinya di pasar karat di Jalan Sultan, Kuala Lumpur membawa padah apabila membuka ruang kepada pekerja syarikat itu mengesannya pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pekerja syarikat terbabit yang kebetulan ke pasar karat berkenaan terkejut apabila mendapati sebuah skuter elektrik syarikatnya di jual di lokasi itu.

Menurutnya, pekerja itu terus memaklumkan kepada polis mengenainya sebelum sepasukan anggota ke lokasi dan menahan lelaki berkenaan pada 10.10 pagi pada hari yang sama.

“Skuter elektrik itu disediakan pihak syarikat terbabit bagi kegunaan pelancong mengikut masa tertentu sebelum ditinggalkan di sesuatu tempat.

“Namun lelaki itu dipercayai mencuri skuter elektrik berkenaan lalu menjualnya untuk memperoleh wang dengan cara mudah,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fahmi berkata, dengan penahanan suspek itu membawa kepada tindakan pihaknya menyerbu sebuah premis besi buruk di Kepong sebelum menemui 14 skuter elektrik lagi milik syarikat yang sama.

“Di lokasi itu, kami menahan dua lelaki iaitu pekerja dan penjaga premis untuk siasatan lanjut.

“Difahamkan, skuter elektrik yang bernilai RM1,300 itu dikatakan dijual dengan harga RM150 bagi setiap satu unit,” katanya.

Menurutnya, polis kemudiannya menahan enam lagi lelaki di sekitar Lembah Klang pada hari yang sama kerana turut terbabit dalam kegiatan itu.

“Kesemua mereka yang berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada mereka sudah didakwa di mahkamah pada Jumaat lalu, manakala lapan suspek lagi akan dituduh di mahkamah dalam minggu ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 8:21pm
d