mutakhir

Terpaksa tumpang bengkel menjahit

Oleh Siti Rohana Idris

SEMBILAN beranak yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Dusun Muda, Jalan Bayam, Kota Bharu, malam tadi terpaksa menumpang di bengkel menjahit kerana kediaman mereka musnah 100 peratus.

Mangsa, Siti Hajar Abu Bakar, 29, bersama suami dan seorang anaknya, bapa dan abangnya empat beranak serta seorang adik terpaksa tinggal di bengkel menjahit tidak jauh dari tapak kediaman terbakar sementara mencari rumah lain untuk disewa.

Katanya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga tidak sempat lagi mencari rumah sewa kerana kejadian baharu berlaku malam tadi dan masih dalam keadaan terkejut.

“Kami tinggal sehelai sepinggang dan orang ramai hanya sempat membawa keluar peti sejuk dan televisyen sahaja kerana api merebak dengan cepat.

“Ketika kejadian, kami tiada di rumah kerana berada di kedai makan milik ayah kira-kira 20 meter dari lokasi.

“Nasib baik kebakaran cepat dipadamkan dan tidak merebak sehingga ke kedai makan ayah. Jika tidak kami bukan saja hilang tempat berteduh, punca pencarian pun mungkin hilang,” katanya.

Terdahulu, mangsa dikunjungi wakil dari badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Nasional Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa yang hadir menyampaikan bantuan kewangan selain memberi jaminan bantuan susulan akan diberikan kepada semua mangsa.

Siti Hajar berkata, sejak malam tadi, bantuan tidak putus diterima sama ada dari orang perseorangan, NGO atau orang kenamaan.

Katanya, selain wang tunai, sumbangan turut diberikan dalam bentuk makanan dan bantal yang boleh digunakan mereka sekeluarga serta tujuh mangsa lain yang semuanya tinggal sehelai sepinggang.

“Perasaan sedih kami berganda kerana minggu depan sambutan Aidiladha dan semua persiapan termasuk baju raya hangus.

“Bapa ada mengambil satu bahagian (lembu) dan kami tidak dapat bayangkan bagaimana untuk menguruskannya nanti dan di mana kami akan berhari raya,” katanya sambil memberitahu anggaran kerugian dialami mereka sekeluarga sekitar RM20,000.

Dalam kebakaran pada 8.45 malam tadi, tujuh kediaman hangus sekelip mata, namun tiada membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Wildan Azahari, berkata pihaknya menjalankan pengumpulan data bagi membuat anggaran kerugian keseluruhan termasuk mengenal pasti punca kejadian.

“Setakat ini beberapa sampel ditemui di lokasi sudah diambil dan akan dihantar ke makmal untuk diuji bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Kerugian keseluruhan masih belum diperoleh kerana membabitkan banyak keluarga dan isi rumah,” katanya.

Berita berkaitan

'7 keluarga tinggal sehelai sepinggang'

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 10:33pm
d