mutakhir

'Arwah beritahu tak akan balik lagi'

Oleh Zaid Salim

PEMERGIAN jemaah haji, Hamzah Mohamad, 80, yang meninggal dunia dalam penerbangan ke Jeddah, Khamis lalu bukan sahaja dirasai ahli keluarga, malah masyarakat setempat termasuk mereka yang pernah menjadi ‘murid’ kepada warga emas itu.

Allahyarham Hamzah juga dikenali sebagai Yahya dari Perumahan Rumah Murah, Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir, dilaporkan meninggal dunia di tempat duduk dalam penerbangan MH8170 akibat sesak nafas pada 1.50 tengah hari waktu Jeddah (7.30 malam waktu tempatan) kira-kira satu jam sebelum tiba di Jeddah.

Ketika hayat, arwah yang juga pesara guru Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, banyak menghabiskan masa dengan mengajar penduduk kampung mengenai ibadah haji dan umrah selain turut membantu menguruskan mereka yang ingin ke Makkah dengan Tabung Haji (TH).

Maziah Abdullah, 58, berkata, dia terkejut selepas dihubungi anak bongsu arwah, Khairunnisa, 32, yang tinggal di Ukay Perdana, Kuala Lumpur memaklumkan pemergian Allahyarham.

“Saya belajar mengenai ilmu haji dengan arwah selepas berdaftar dengan TH pada 2012 dan sudah menganggapnya seperti bapa.

“Arwah berusaha turun naik TH untuk mengajak saya dan suami ke Tanah Suci bersamanya dan terkilan apabila kali ini dia pergi dan tidak akan balik lagi ke sini (kampung),” katanya.

Maziah berkata, Allahyarham ada menghubunginya pada petang Rabu lalu sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ada memberitahu yang dia tidak akan balik.

“Arwah berpesan supaya terus belajar rukun haji dan minta saya menunaikan ibadah itu sebaik mungkin apabila berpeluang mengerjakan haji.

“Saya sudah anggap arwah seperti bapa dan berhajat mahu menziarahi kubur arwah di sana,” katanya yang pernah bersama Allahyarham menunaikan ibadah umrah pada 2016.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan seorang jemaah haji yang meninggal dunia dalam pesawat ketika penerbangan ungtuk menunaikan ibadah itu, Khamis lalu.

Jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Althinyan, Jeddah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Makbarah Alsalihiyyah, Jeddah 6 pagi waktu Jeddah (12 tengah hari waktu Malaysia).

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 10:39pm
d