mutakhir

Sudah-sudah la tu...perbanyakkan ibadah

Oleh Yusri Abdul Malek

JANGAN asyik bergambar atau berswafoto ketika masyair sama ada di Arafah, Mudzalifah, Mina dan ketika melontar di Jamrah, sebaliknya isi masa yang ada dengan berdoa, berzikir, solat sunat serta membaca al- Quran.

Itu nasihat dan saranan dilontarkan Pengerusi Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah kepada semua jemaah haji Malaysia yang akan berwukuf Sabtu ini.

Beliau berkata, berwukuf di Arafah adalah hari keampunan jadi jemaah perlu perbanyakkan berdoa dan beribadah kerana kita mahu mendapatkan haji mabrur.

"Apa yang saya tengok sebelum ini ada jemaah yang berswafoto dan mengambil gambar sedangkan ketika itu adalah mustajab untuk berdoa.

"Sebaliknya gunakan telefon bimbit terutama ketika mabit di Mudzalifah sebagai lampu suluh ketika membaca al-Quran kerana kawasan itu kurang pencahayaan.

"Juga boleh manfaatkan telefon bimbit dengan memuat turun doa-doa yang boleh dibaca ketika masyair.

"Kita juga ada menyediakan aplikasi senarai semak dari mula melakukan ibadah haji. Dengan senarai itu, jemaah boleh menyemak langkah-langkah yang perlu dibuat ketika beribadah," katanya ketika sidang media di Abraj Al Janadriyah di Makkah hari ini.

Beliau berkata, jemaah boleh duduk dalam khemah untuk berdoa dan berzikir di Mina serta melakukan pelbagai ibadah sunat yang lain.

"Setiap malam perlu juga berdoa supaya perjalanan haji jemaah mendapat perlindungan Allah," katanya.

Menurutnya, sebaik selesai mengerjakan ibadah haji, jemaah boleh menyemak senarai semak yang dibuat sebelum ini dengan pembimbing ibadah bagi memastikan apa yang dilakukan itu sempurna.

"Dengan cara itu, seseorang jemaah itu akan berlapang dada sebaik pulang ke tanah air dan tidak ada berasa was-was dalam hati mengenai ibadah haji yang sudah dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 2:12am
d