mutakhir

Padah merokok di kawasan larangan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

LAPAN individu termasuk tiga pelancong asing diberi notis hadir ke mahkamah selepas didapati merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Tawau, Tawau semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Tawau, Rahman Sampe berkata, semua individu terbabit dikesan melakukan kesalahan itu menerusi operasi khas Ops Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) ke-14 yang berakhir 10 malam tadi.

Katanya, sepanjang operasi dua hari itu pihaknya mengesan segelintir individu termasuk pelancong asing tidak mempedulikan papan tanda larangan merokok yang dipasang di beberapa lokasi strategik di lapangan terbang berkenaan.

“Sesiapa saja tanpa mengira sama ada pelancong asing atau tempatan perlu mematuhi larangan merokok di kawasan lapangan terbang seperti yang diwartakan mengikut PPKHT 2004.

“Individu yang diberi notis ini perlu hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 32B atau membayar kompaun RM250 bagi setiap kesalahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan ejen pelancongan membantu pihak berkuasa dengan memaklumkan larangan merokok di kawasan tertentu kepada pelanggan masing-masing.

Katanya, selain kawasan lapangan terbang, operasi sama akan diperluas ke premis kerajaan seperti hospital, perhentian bas termasuk dalam kenderaan pengangkutan awam, stadium dan kawasan lain yang sudah digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.

“Bagi menguatkuasakan PPKHT 2004, orang ramai juga perlu membantu pihak berkuasa dengan membuat laporan berkaitan sebarang pelanggaran atau kesalahan merokok di kawasan larangan demi kesihatan bersama,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 11:40am
d