mutakhir

Baru 19 tahun sudah 'langsi'

Oleh Garret Dawum

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak sedang memburu seorang remaja lelaki yang juga ‘ah long’ bagi membantu siasatan.

Ketua JSJK Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek berusia 19 tahun dikenali sebagai Yap Qi Wei.

“Suspek dikehendaki susulan satu laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 30-an pada 5 Julai lalu.

“Lelaki ini mendakwa dirinya menjadi mangsa pemberi wang tidak berlesen apabila dipaksa membayar RM4,000 untuk pinjaman berjumlah RM1,200 yang dibuat pada 12 Mei lalu.

“Kami masih belum menjejaki suspek sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa mengenali suspek daripada seorang kawan dan membuat pinjaman wang RM1,200 serta perlu membayar RM2,000 dalam masa 10 hari.

“Pinjaman dibuat dalam sebuah kereta di tepi jalan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan kemudiannya diminta menandatangani surat perjanjian tetapi tidak diberikan salinan.

“Pada 4 Julai lalu, mangsa menerima mesej ugutan dan disuruh membayar RM4,000. Dinding dan pagar rumah mangsa di Jalan Penrissen juga disembur cat merah dengan tulisan meminta mangsa membayar duit,” katanya.

Menurut Mustafa, JSJK Sarawak sudah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 29 B akta sama.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hisyam Mohd Shah di talian 016-456 9169 atau Inspektor Hamizan Ismail di talian 016-445 5695,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 3:41pm
d