mutakhir

UMNO, PAS janji elak pertembungan

Oleh Syaherah Mustafa

UMNO dan PAS bersetuju tidak akan bertanding sesama sendiri di mana-mana kawasan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, perkara itu intipati paling besar yang dipersetujui kedua-dua kepemimpinan parti dan akan dimeterai secara rasmi menerusi Piagam Kerjasama Muafakat PAS-UMNO, bulan depan.

Katanya, pemeteraian piagam itu juga tidak terhad kepada kerjasama UMNO dan PAS, bahkan Barisan Nasional (BN) dengan Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bagi menghadapi PRU-15.

“Kita muktamadkan, hanya akan ada pertembungan dua penjuru bagi setiap kawasan yang mana semua pihak akan duduk berbincang mengenai calon bertanding dan memastikan tiada pertembungan berlaku.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi oleh kedua-dua parti dalam PRU-14 akan dikekalkan kepada parti terbabit, kecuali jika ada rundingan lain dan kita akan berbincang untuk menentukan calon yang akan bertanding bagi kerusi tewas.

“Pada dasarnya, UMNO ada 38 kerusi manakala PAS terdapat 18 kerusi yang akan terus diwakili oleh kedua-dua parti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program lawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke tapak kebakaran di Kampung Dusun Muda di Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, perkara lain yang disenaraikan termasuk memantapkan hubungan dua parti di peringkat negeri dan kawasan.

“Perkara lebih lanjut akan diumumkan nanti ketika piagam ini ditandatangani pada 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Kita jangkakan kehadiran ahli dan penyokong seramai 6,000 orang pada majlis itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 7:02pm
d