mutakhir

'Jika sudah takdir, saya reda'

Oleh Zaid Salim

“SAYA faham keadaan cuaca di laut buruk, ombak besar dan beralun, jadi akur kalau usaha mencari suami terpaksa ditangguhkan,” kata Ruhayati Awang Lah, 56.

Ruhayati adalah isteri kepada Makhtar Ibrahim, 59, nelayan yang hilang selepas terjatuh ke laut ketika menangkap ikan berhampiran Pelantar Dulang, Sabtu lalu.

Dia bersama dua anaknya, Nur Atiqah, 24, dan Muhammad Redzuan, 21, akur sekiranya pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuat keputusan untuk menangguhkan pencarian suaminya berikutan cuaca buruk.

Katanya, dia bersama keluarga juga reda seandainya suami meninggal dunia akibat kejadian itu.

“Kalau ditakdirkan sudah ajalnya di laut, saya reda dan terima dengan ketentuan Allah tetapi besar harapan saya kalau suami ditemui biarpun dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.

Ruhayati berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kediamannya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot di Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Seksyen Operasi APMM Kuala Terengganu, Pegawai Waran II Abdul Idrus Che Senik; Ketua Balai Polis Gong Badak, Inspektor Adzlan Mohd Zulkifli dan pegawai serta anggota APMM.

Sementara itu, Pegawai Seksyen Operasi, APMM Terengganu, Pegawai Waran II (M) Abdul Idrus Cik Senik berkata, operasi SAR yang memasuki hari ke empat terbabit masih diteruskan.

Katanya, operasi SAR terbabit bagaimanapun menghadapi sedikit kesukaran kerana cuaca buruk dan ombak besar menjejaskan kelancaran operasi.

“Apapun keadaan pasukan penyelamat sentiasa berada di laut dan usaha mencari mangsa tetap diteruskan,” katanya.

“Pasukan penyelamat dan aset yang terbabit dalam operasi SAR masih kekal iaitu membabit TLDM, APMM, dan PPM.

“Namun, sehingga kini kami tidak menemui sebarang petunjuk dan usaha mendapat kerjasama nelayan juga gagal berikutan keadaan laut bergelora menyebabkan mereka tidak boleh turun ke laut,” katanya.

Sabtu lalu, Makhtar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut dekat Pelantar Minyak Dulang kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dan susulan itu operasi SAR dilakukan bagi mencari mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.

Berita berkaitan

Hanya nampak topi, selipar

Solat hajat buat Makhtar

'Tidak putus-putus berdoa'

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 7:30pm
d