mutakhir

Grab dah mula bayar balik...

Oleh Idris Musa

GRAB Malaysia sudah membayar balik fi lima peratus kepada pemandu yang sebelum ini memilih untuk menerima tempahan secara manual.

Menurut syarikat itu, oleh kerana ia membabitkan sejumlah besar pemandu yang masih aktif di atas jalan raya, pembayaran balik dilakukan secara berperingkat.

“Dalam beberapa minggu ini, kami berusaha untuk memastikan keadilan semua rakan pemandu kami, menambah baik pengalaman memandu mereka di samping mengekalkan keseimbangan antara penawaran dan permintaan.

“Setakat ini kami sudah membayar balik fi lima peratus kepada semua rakan pemandu yang sebelum ini memilih untuk menerima tempahan secara manual melalui aplikasi selepas 11 Julai.

“Oleh kerana ia membabitkan sejumlah besar rakan pemandu yang masih aktif di atas jalan raya, pembayaran balik itu dilakukan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pemandu e-hailing mendakwa belum menerima bayaran lima peratus, iaitu lebihan caj daripada Grab walaupun syarikat itu berjanji memulangkan bayaran berkenaan pada Isnin lalu.

Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA), Daryl Chong, dipetik berkata, pengumuman berkaitan pembayaran lima peratus lebihan itu dipaparkan sebuah akhbar 29 Julai.

Menurut kenyataan itu, fi lima peratus yang diperkenalkan sebelum ini sebagai pampasan dan bagi melindungi rakan pemandu lain, setiap kali tempahan diabaikan atau dibatalkan.

“Ini penting bagi mengurangkan situasi tidak dijangka dan mengekalkan keseimbangan antara penawaran dan permintaan, di samping memenuhi keperluan perjalanan harian pengguna,” katanya.

Syarikat itu turut menegaskan, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk bekerja rapat dengan rakan pemandu supaya lebih ramai boleh terus menjana pendapatan melalui perkhidmatan e-hailing.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media pada 12 Julai lalu memberi peringatan keras kepada semua pengendali perkhidmatan e-hailing supaya mematuhi peraturan komisen 20 peratus.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 8:49pm
d