mutakhir

Buruh Myanmar berdepan hukuman mati

Oleh Aizat Sharif

BURUH Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, atas kesalahan membunuh rakan senegaranya di Taman Bunga Raya, Sungai Petani, awal bulan ini.

Tertuduh, Maung Zaw Win, 19 bagaimanapun tidak dapat memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan jurubahasa Myanmar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Shwetheil Mane yang juga seorang warga Myanmar di No 54-G, Taman Bunga Raya, Sungai Petani, jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 4 Ogos lalu, seorang pekerja kedai pemborong kuih pau maut selepas dikelar rakan sekerjanya di Taman Bunga Raya, Sungai Petani.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 11:11am
d