mutakhir

Maut kena renjatan elektrik

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI berusia 33 tahun maut terkena renjatan elektrik di Jalan Teruntum 1, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, lelaki berkenaan ditemui orang awam terbaring berhampiran kotak penyambung Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, sebaik menerima maklumat daripada orang awam, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lelaki itu terlungkup dalam lubang di tepi kotak penyambung TNB.

“Dengan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang serta TNB, Johor Bahru mangsa dikeluarkan pada 12.45 tengah malam selepas bekalan elektrik dihentikan sementara,” katanya.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel dengan memotong kabel di tempat kejadian.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi BBP Pasir Gudang, Shahsudin Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.30 malam sebelum lima anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Berdasarkan maklumat diperolehi daripada pemanggil memaklumkan terdapat seorang mangsa terkena renjatan elektrik yang mana dia dipercayai dalam cubaan mengambil kabel elektrik berkuasa tinggi di tepi lebuh raya.

“Bomba membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi selepas TNB membuat penutupan elektrik di kawasan itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 12:04pm
d