mutakhir

'Bantu siasatan, bukan disiasat'

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Isham Ishak memaklumkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa dan semalam, bagi membantu siasatan dan bukan disiasat.

Beliau juga memaklumkan sudah memberi maklumat yang diperlukan SPRM, namun tidak boleh mendedahkan kes terbabit kerana siasatan masih dijalankan suruhanjaya berkenaan.

“Saya ingin maklum memang benar saya dipanggil SPRM, tapi peranan saya adalah untuk membantu siasatan.

“Ada perbezaan dengan disiasat dan membantu siasatan, peranan saya sebagai pegawai di kementerian adalah untuk membantu SPRM memperjelas isu berkaitan dengan prosedur dan saya harus maklumkan mereka perkara yang berlaku dan apa langkah yang sudah ada bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.

“Ada kes spesifik (yang disiasat) yang membuatkan mereka panggil saya tapi saya tidak boleh maklumkan berkaitan kes apa kerana ia masih dalam siasatan dan perlu hormatinya,” katanya pada sidang media di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.

Isham berkata, beliau berharap kenyataannya hari ini dapat menjelaskan keadaan sebenar dan sebab kenapa dipanggil SPRM.

“Saya juga perlu bersihkan nama saya, keluarga dan juga kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung kebocoran maklumat sulit kerajaan yang dilaporkan sebuah portal baru-baru ini dan juga fitnah dilemparkan terhadapnya.

“Saya tidak tahu apa motif mereka, tetapi mereka tidak mempunyai maklumat yang tepat untuk dilaporkan, fitnah mengenai salah laku saya, salah guna kuasa dan rasuah.

“Kalau saya bersalah, hari ini mungkin saya sudah dihadapkan ke mahkamah, benda seperti ini (fitnah) tidak patut berlaku, kerana ia boleh menjatuhkan negara.

“Ini mungkin cabaran penjawat awam sekarang terutama bagi ketua setiausaha, bila kita cuba pertahankan sistem pentadbiran yang penuh berintegriti, sesungguhnya kita akan diserang pihak tertentu yang tidak menyukainya,” katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohammadin Ketapi mengesahkan ketua setiausaha kementeriannya, dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 12:32pm
d