mutakhir

Kes anak Mat Sabu dibicara Oktober

Oleh Sarah Zulkifli

TARIKH bicara kes penyalahgunaan dadah membabitkan anak lelaki Menteri Pertahanan di pusat hiburan terkemuka Januari lalu, ditetapkan selama dua hari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 15 dan 16 Oktober depan.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan tarikh itu ketika prosiding pengurusan kes dihadapi tertuduh, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, hari ini.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid dan tertuduh yang diwakili peguam Nasar Khan tidak membantah tarikh bicara yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol9-carboxylic acid atau THC, yang juga terdapat pada ganja di sebuah tandas di Hotel W, Kuala Lumpur, jam 2.05 pagi, 5 Januari lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di bawah Seksyen 38B akta sama selama tiga tahun, jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Nasar Khan.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan kemudian diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Anak ketiga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu bersama seorang lagi rakannya ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu di pusat hiburan itu, 12.30 tengah malam, 6 Januari lalu.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 1:06pm
d