mutakhir

Mata wang palsu Brazil dirampas

Oleh Norasikin Daineh

POLIS Sabah merampas 1,000 keping mata wang Real Brazil (BRL) bernilai 10 juta disyaki palsu di sebuah feri di jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Tawau, Isnin lalu.

Dalam kejadian 4 petang itu turut ditahan lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke Nunukan, Indonesia dengan menaiki feri terbabit.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, lelaki itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan dilakukan dan ketika itu di tangannya terdapat kotak mengandungi 1,000 keping mata wang Brazil dipercayai palsu dengan jumlah keseluruhan nilai dalam mata wang Brazil adalah 10 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek datang dari Nunukan, Indonesia ke Tawau pada 11 pagi hari sama untuk urusan jual beli mata wang Brazil itu.

“Suspek tiba di CIQ untuk berjumpa dengan seorang lelaki juga warga Indonesia dengan tujuan menjual mata wang itu dengan nilai RM20,000.

“Bagaimanapun, urusan mereka tidak jadi kerana lelaki itu hanya sanggup membayar RM10,000 saja dan disebabkan itu suspek kemudian pulang semula ke Nunukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, pihaknya percaya wang itu adalah palsu bagaimanapun pengesahan lanjut berhubung ketulenannya akan dilakukan di Kedutaan Brazil di Kuala Lumpur.

“Kita yakin lelaki yang ingin membeli wang itu turut mengetahui wang terbabit adalah palsu kerana tidak mungkin nilai 10 juta Brazil dijual pada harga RM20,000.

“Wang yang dipercayai daripada seorang lelaki lain dari Surabaya, Indonesia itu kita percaya palsu selepas didapati sebahagian besar nombor siri pada not wang itu adalah sama dan pengesahan ketulenan mata wang tidak dapat disahkan di Bank Negara namun akan dibawa ke Kedutaan Brazil untuk pengesahan,” katanya.

Zaini berkata, lelaki itu direman bermula Selasa lalu hingga esok untuk siasatan lanjut termasuk jika ada rakan subahat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki mata wang palsu yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 1:23pm
d