mutakhir

Patutlah kau pecut... [METROTV]

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

TINDAKAN lelaki memecut kenderaan sejauh kira-kira tiga kilometer dari Pandan Jaya bagi mengelak dicekup polis membongkar rahsia dia memiliki pistol.

Bagaimanapun, dalam kejadian 6.30 petang kelmarin itu, suspek berusia 51 tahun ditahan selepas keretanya bergesel dengan enam kenderaan lain, selepas memasuki Lebuhraya Besraya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, sebelum itu, pihaknya mengesan kereta dinaiki suspek bersama seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas kenderaan itu bergesel dengan kenderaan lain.

“Suspek diberkas selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis. Namun, rakannya berjaya meloloskan diri.

“Pemeriksaan pada beg silang yang dipakai mangsa menjumpai sepucuk pistol, kelopak serta 48 butir peluru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai 18 rekod lampau bersabit kes dadah, pecah rumah dan samun.

Suspek juga positif dadah dan dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan beberapa kes jenayah lain.

“Hasil soal siasat, suspek mendakwa pistol itu dibeli daripada seorang individu dengan harga RM15,000.

“Kita masih siasat sama ada senjata itu pernah diguna suspek dalam kegiatan jenayah lain atau tidak.

“Usaha memburu rakan suspek juga masih dijalankan. Orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat ketika kejadian diminta tampil bantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, suspek kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 2:00pm
d