mutakhir

Dua jam menghadap Sultan

Oleh Siraj Mohd Zaini

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP dan PKR dipanggil menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selama lebih dua jam.

Mereka ialah Datuk Teng Chang Kim (Bandar Baru Klang-DAP), Ng Sze Han (Kinrara-DAP), V Ganabatirau (Kota Kemuning-DAP) dan Hee Loy Sian (Kajang-PKR).

Terdahulu, pemerhatian Harian Metro mendapati Sultan Sharafuddin tiba di istana pada jam 9.15 pagi.

Sementara semua ADUN yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor itu tiba dengan dua kenderaan memasuki perkarangan istana pada jam 10.40 pagi.

Semua ADUN berkenaan keluar daripada perkarangan istana pada 1 tengah hari.

Ketika ditemui pemberita, keempat-empat mereka enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan berkenaan.

Semua ADUN terbabit dipercayai menghadap Baginda berikutan isu membabitkan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dibawa Menteri Besar, Amirudin Shari pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, minggu lalu.

Difahamkan, Amirudin cuba meminda enakmen negeri untuk mengubah perkataan berhubung penukaran agama bagi anak yang di bawah umur.

Ketika ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran ‘ibu dan bapa’.

Pindaan itu adalah untuk mengubahnya kepada ‘ibu atau bapa’.

Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan enakmen itu dipercayai dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta menerima sokongan Sultan Sharafuddin.

Bagaimanapun, RUU terbabit tidak dapat dibahaskan selepas Speaker, Ng Suee Lim menangguhkan sidang DUN Selangor selepas dua hari bersidang.

Sidang DUN Selangor dijadual berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos namun ditamatkan lebih awal pada 31 Julai lalu.

Berita berkaitan

4 ADUN Selangor dititah menghadap [METROTV]

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 2:15pm
d