mutakhir

Sita kawasan binaan bahaya [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TIGA tapak pembinaan dan 177 kawasan aktiviti kerja disita Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam Operasi Cegah Kemalangan di Perak.

Operasi bermula 15 Julai lalu dan berakhir hari ini memeriksa 27 tapak pembinaan dengan 179 notis larangan serta penyitaan dikeluarkan.

Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, tiga tapak pembinaan yang disita terletak di Taiping, Batu Gajah dan Meru, Ipoh.

“Antara kesalahan lain yang dilakukan adalah tepian terbuka membabitkan kerja-kerja di tempat tinggi, lubang terbuka yang tidak tertutup, pendawaian elektrik, pemasangan perancah, pelantar kerja dan laluan ke tempat kerja yang tidak selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai penutup Operasi Cegah Kemalangan di Ipoh, hari ini.

Zamzurin berkata, penyitaan dilakukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994; Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Peraturan Kilang dan Jentera (kendalian bangunan dan kerja-kerja binaan kejuruteraan keselamatan) 1986.

Katanya, selain penyitaan, 42 notis pembaikan dan 87 surat arahan dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan yang memerlukan penambaikan segera oleh majikan atau kontraktor.

Sementara itu, katanya sehingga Julai lalu terdapat 23 kes kemalangan maut membabitkan pekerja direkodkan dengan empat daripadanya di sektor pembinaan.

Menurutnya, JKKP Perak juga sudah mengambil 37 tindakan pendakwaan dan 172 tindakan kompaun terhadap majikan daripada pelbagai sektor membabitkan denda sebanyak RM352,700 dan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM237,000.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 3:05pm
d