mutakhir

14 penerbangan pulang perintis Projek EYAB

Oleh Yusri Abdul Malek

SEBANYAK 14 penerbangan pulang jemaah haji ke tanah air dipilih sebagai perintis baharu kesinambungan Makkah Route yang dinamakan Projek EYAB atau Kembali.

Ini bermakna jemaah haji tidak perlu menunggu lama hingga enam jam untuk pelepasan pulang seperti sebelum ini, sebaliknya mengambil masa empat jam di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz (KAAIA) Jeddah.

Inisiatif terbaharu kerajaan Arab Saudi itu bertujuan mengurangkan tempoh menunggu jemaah semasa keberangkatan pulang ke tanah air dan menyediakan tempat menunggu lebih selesa ketika di lapangan terbang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, EYAB membabitkan projek perintis 14 penerbangan Malaysia Airlines (MAB) membabitkan 7,000 jemaah yang akan berlepas dari Jeddah bermula 18 Ogos.

Beliau berkata, balai berlepas khusus diwujudkan untuk projek itu di Terminal Selatan KAAIA yang menyaksikan urusan imigresen diuruskan secara mudah alih dan pantas.

“Projek perintis ini dijangka diperluaskan pelaksanaannya kepada semua penerbangan membawa jemaah haji Malaysia pada musim haji akan datang.

“Perbincangan lanjut mengenai inisiatif ini sudah dalam peringkat akhir dengan kerajaan Arab Saudi.

“Selain Malaysia, inisiatif ini juga membabitkan jemaah haji India dan Indonesia,” katanya ketika melawat Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah di Makkah, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof dan Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dr Wan Azizah berkata, sehingga kini, semua jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci dan menunggu masa untuk wukuf pada lusa.

Katanya, TH memberi khidmat cukup baik kepada semua jemaah dan beliau teruja ketika melawat bangunan ibu pejabat TH.

“Tahun ini saja, TH sudah menanggung subsidi haji sebanyak RM400 juta dengan mengekalkan kos pada RM9,980 berbanding kos sebenar RM22,900 sekalipun kos menunaikan haji meningkat.

“Sepanjang 2001 hingga kini, TH sudah menangung sebanyak RM2 bilion," katanya.

Beliau berkata, kejayaan TH menguruskan jemaah haji dengan baik menarik banyak negara untuk bekerjasama.

Selain itu, katanya, TH perlu membaiki atau mencari jalan untuk memudahkan lagi jemaah uzur dan kritikal dalam mengerjakan haji.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 5:08pm
d