mutakhir

Mangsa bunuh sah warga asing

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

POLIS mengesahkan mayat lelaki ditemui dalam beg pakaian di kawasan Public Palm Oil Jalan 3, Pandan Industri, Pandan Indah dekat Ampang, kelmarin adalah warga negara asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang tanda suntikan ‘ Bacillus calmette-guerin’ (BCG) ditemukan di badan mangsa.

Katanya, pihaknya kini sudah mengambil cap jari mangsa sebelum dihantar ke Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenal pasti identiti sekiranya mangsa masuk secara sah ke negara ini.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai orang hilang yang kami terima dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terbabit.

“Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang Kamera Litar Tertutup (CCTV) di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ampang, hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan mayat lelaki ditemui orang awam pada 8 pagi.

Mayat berkenaan diletakkan dalam beg pakaian biru beserta wayar kabel selain kedua-dua kaki mangsa terjulur terkeluar dari beg itu.

Mangsa ditemui berpakaian penuh dan tidak berkasut selain siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang tanda pergelutan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan tekanan pada bahagian leher dan terdapat kesan lebam di bahagian hadapan serta belakang badan selain mempunyai kesan jerut di bahagian lengan, leher kiri sehingga bawah dagu mangsa.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 5:25pm
d