mutakhir

4 ditahan bantu siasatan kebakaran rumah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS Kelantan menahan empat lelaki untuk membantu siasatan kebakaran tujuh rumah di Kampung Dusun Muda, Jalan Bayam, Kota Bharu, Isnin lalu yang disyaki berpunca daripada perbuatan khianat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, empat suspek berusia 15 hingga 45 tahun ditahan beberapa jam selepas kebakaran itu.

Beliau berkata, semua suspek termasuk remaja lelaki berusia 15 tahun yang sudah tidak bersekolah itu ditangkap di sekitar Kota Bharu.

“Hasil siasatan, bomba percaya terdapat unsur khianat dalam kebakaran itu sebelum mereka serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, hasil maklumat awam, kami menahan empat suspek di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan.

“Mereka direman selama tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dalam majlis itu, Abdullah menerima tugas daripada Datuk Azmi Abu Kassim yang akan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman sambil disaksikan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan.

Ditanya mengenai punca perbuatan khianat itu, Abdullah berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Akhbar sebelum ini melaporkan tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Muda.

Dalam kejadian 8.45 malam 5 Ogos itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Berita berkaitan

'Terpaksa tumpang bengkel menjahit'

'7 keluarga tinggal sehelai sepinggang'

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 6:06pm
d