mutakhir

Ana Simon akan dipanggil SKMM

Oleh Zaid Salim

INDIVIDU dikenali sebagai Ana Simon akan dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran video didakwa penganjuran tarian bogel dan pesta arak di sebuah chalet di Pulau Perhentian, Besut, 29 Julai lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan mendapati wanita terbabit adalah penduduk tempatan berusia 30-an yang dikesan menyebarkan video lama pada 2017 sehingga menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial.

Katanya, wanita yang turut menggunakan nama Facebook Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu) itu perlu memberi keterangan mengenai sumber berita itu diperoleh kerana hasil siasatan polis mendapati tidak ada penganjuran tarian bogel atau separuh bogel di pulau berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kita, apa yang ada di pulau berkenaan hanya sekadar bermain muzik di bar pantai bukannya tarian bogel.

“Malah, kita sudah merobohkan premis berkenaan dan menahan dua lelaki masing-masing dari negeri ini dan Pulau Langkawi, Kedah yang terbabit menjalankan aktiviti itu menerusi Ops Noda yang dijalankan selama dua hari bermula Isnin lalu.

“Siasatan kes ini di bawah tanggungjawab SKMM dan kita akan memberi kerjasama bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Cawangan Khas (KCK) Terengganu, Asisten Komisioner Zakaria Harun dan Timbalan KCK, Superintendan Zainol Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Zakaria yang dinaikkan pangkat akan bertukar ke IPK Kedah sebagai KCK manakala Zainol akan memangku jawatan berkenaan buat sementara waktu.

Sebelum ini, dua video masing-masing berdurasi 30 saat dan sembilan saat yang tular di laman sosial itu memaparkan sekumpulan individu berpakaian separuh bogel dilihat sedang menari di sebuah chalet di pulau peranginan itu.

Wanita berkenaan dipercayai cuba menyebarkan video itu untuk memfitnah Majlis Daerah Besut (MDB), Pejabat Agama dan kerajaan Terengganu berikutan tidak puas hati permohonannya untuk membuka pusat urut terbuka di pulau itu tidak diluluskan MDB dan mendapat tentangan penduduk tempatan.

Hasil risikan awal mendapati video yang ditularkan itu adalah video lama yang diambil pada 2017 membabitkan pondan berusia 32 tahun yang mabuk menari secara spontan di tepi pantai dalam keadaan separuh bogel dan bukan dalam pesta yang didakwa anjuran pihak tertentu.

MDB tidak pernah menerima laporan dan aduan berhubung aktiviti penganjuran pesta arak dan tarian separuh bogel dianjurkan mana-mana pihak di Pulau Perhentian sepanjang 2018 hingga 2019.

Berita berkaitan

Tarik lesen jika betul anjur pesta haram

Ana Simon, menyerahlah...

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 7:27pm
d