mutakhir

Nekad masuk kawasan larangan loji gas

Oleh Zaid Salim

TINDAKAN sebuah syarikat di Kerteh, Kemaman menggunakan hampir 90 peratus tenaga kerja warga asing bagi menyiapkan projek tambahan loji memproses hidrogen dan nitrogen dalam masa singkat membawa padah apabila tapak pembinaan itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, semalam.

Dalam serbuan 10.50 pagi itu, kawasan tapak projek berkenaan lengang apabila 188 pekerja asing ditahan kerana melanggar akta dan peraturan imigresen.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, serbuan di tapak projek berkenaan dilakukan sepasukan 20 anggota dan pegawai diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Ahmad Salihin Salleh.

Beliau berkata, seramai 732 pekerja asing pelbagai negara diperiksa sebelum 188 daripadanya ditahan masing-masing membabitkan 110 warga Pakistan, Bangladesh (60), Indonesia (12) dan enam warga India berusia antara 21 hingga 48 tahun.

“Daripada 188 warga asing ditahan, seramai 181 orang yang melanggar syarat pas disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Lima orang tidak memiliki dokumen pengenalan diri disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dua orang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Kawasan serbuan luas selain terdapat beberapa kawasan tidak dibenarkan masuk kerana faktor keselamatan menyebabkan ada warga asing berjaya meloloskan diri dengan masuk ke kawasan itu bagi mengelak ditahan,” katanya.

Rahim berkata, semua warga asing terbabit dibawa ke Depot Tahanan Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun yang juga majikan kepada warga asing berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kami akan terus menggempur lokasi dikenal pasti dalam pelbagai sektor bagi memastikan pekerja asing yang berada di negeri ini mematuhi syarat dan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 8:33pm
d