mutakhir

Wanita didakwa cuba culik budak ditahan

Oleh Rosli Ilham

POLIS menahan seorang wanita yang tular di media sosial sejak semalam selepas didakwa cuba menculik seorang murid lelaki di sekolah di bandar Dungun.

Wanita berusia 20-an berasal dari Marang itu ditahan ketika menunggang motosikal oleh sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di Rusila, Marang, 3 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan siasatan mendapati, wanita terbabit mendakwa memasuki kawasan sekolah berkenaan untuk ke tandas sebelum menegur murid lelaki itu.

Beliau berkata, suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana masalah keluarga selepas hampir tiga tahun bercerai dengan suaminya.

“Suspek mengaku mempunyai tiga anak berusia tiga, lapan dan 10 tahun dan semua anaknya berada di bawah jagaan bekas suaminya.

“Hasil siasatan awal, kami percaya wanita itu mungkin hanya menegur murid lelaki terbabit kerana teringatkan anak-anaknya.

“Wanita itu mengaku tinggal di merata tempat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak petang semalam, wanita itu tular di sosial sosial dan warganet mendakwa kononnya cuba menculik dan mengheret keluar seorang murid perempuan di sebuah sekolah di Dungun.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan sekolah berkenaan yang pelik dengan perbuatan suspek berjaya menyelamatkan murid perempuan itu.

Suspek dikatakan turut ditemui berlegar di kawasan sebuah sekolah lain dan berikutan kejadian itu, ibu murid terbabit membuat laporan polis petang semalam untuk tindakan lanjut.

Baharudin berkata, polis yang menerima laporan turut memanggil pengawal keselamatan, murid dan guru sekolah terbabit.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian bukan membabitkan murid perempuan sebagaimana ditularkan, sebaliknya membabitkan seorang murid lelaki.

“Siasatan mendapati murid terbabit tidak diheret oleh suspek sebagaimana ditularkan di media sosial,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 8:54pm
d