mutakhir

Rakamlah kalau nak kena...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur mengeluarkan amaran bertulis kepada 10 individu kerana membuat rakaman dan mengambil gambar dalam pawagam sejak April lalu.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri berkata, sebanyak 32 pemeriksaan dilakukan di 22 pawagam sekitar ibu negara dalam operasi sejak 28 April itu.

“KPDNHEP mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti merakam video dalam pawagam dan akan menjalankan operasi berterusan supaya aktiviti itu dapat dibanteras secara menyeluruh.

“Sebagai langkah pencegahan, individu yang mengambil gambar dalam pawagam turut diberikan amaran bertulis,” katanya ketika ditemui selepas operasi di Suria KLCC dan dan pusat beli-belah Pavilion malam tadi.

Azeem berkata, seramai 13 pegawai terbabit dalam pemeriksaan dan pemantauan yang berakhir kira-kira 11.30 malam di dua pawagam itu.

“Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama pengusaha panggung wayang dalam mendidik dan memberi peringatan kepada pengguna supaya tidak sewenang-wenangnya membuat rakaman atau menyiarkan secara langsung tayangan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain dengan tujuan persendirian atau komersial.

“Individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan penalti mengikut Seksyen 43A Akta Hak Cipta 1987 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 2:08am
d