mutakhir

Enam premis hiburan ditutup

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup enam premis hiburan kerana tiada lesen perniagaan dan lesen hiburan tidak sah dalam satu operasi Selasa lalu.

Menerusi Facebook DBKL, tindakan khas premis itu dilaksanakan di beberapa kawasan hotspot seperti Sri Petaling, Taman Maluri dan Jalan Klang Lama.

Jurucakapnya berkata, tindakan yang dilaksanakan secara berkala itu mensasarkan premis hiburan, premis perniagaan dan restoran yang melanggar peraturan.

“Pemeriksaan terhadap 10 premis mendapati tujuh daripadanya tidak memiliki lesen perniagaan dan lesen hiburan sah.

“Sekurang-kurangnya empat tindakan sita pelbagai barangan dipercayai untuk menjalankan aktiviti hiburan seperti papan kekunci, set dram, mikrofon, pembesar suara, piano, monitor dan lain-lain dilakukan.

“Sebanyak 11 notis kompaun dikeluarkan terhadap pemilik perniagaan yang didapati melanggar syarat lesen seperti membuat halangan di hadapan premis perniagaan dan mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Warga kota yang ingin menjalankan aktiviti perniagaan dan hiburan dinasihati memohon lesen sah dan mematuhi syarat lesen ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, kegagalan mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 9:21am
d