mutakhir

Bicara kes anak tiri Najib tahun depan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PERBICARAAN kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) ditetapkan lapan hari bermula 6 Januari 2020.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Rozina Ayob selepas pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah terdapat beberapa dokumen dari Amerika Syarikat (AS) masih belum diterima.

Tarikh lain lain untuk perbicaraan adalah 6 hingga 9 Januari 2020 dan 13 hingga 16 Januari 2020.

Terdahulu, Sri Ram berkata, pihak pendakwaan juga tidak berhasrat untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana tidak menerima sebarang arahan.

“Pihak pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian dokumen berhubung kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dan akan memanggil kurang daripada 10 saksi termasuk seorang dari Singapura untuk perbicaraan akan datang,” katanya.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan pasukan pembelaan diwakili Datuk Hariharan Tara Singh yang mengesahkan menerima dokumen itu.

Pada 5 Julai lalu, Riza Aziz yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), lapan tahun lalu.

Tuduhan itu membabitkan wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan dana 1MDB.

Penerbit filem ‘Wolf of The Wall Street’ itu akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Riza Aziz didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil aktiviti haram berjumlah masing-masing AS$1,173,104 juta dan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), bernombor 123284291 milik Red Granite Production Inc.

Wang berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan itu di City National City Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS, masing-masing antara 12 April dan 12 Mei 2011 serta 10 September dan 10 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, Riza Aziz didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil aktiviti haram berjumlah masing-masing AS$133 juta, AS$60 juta dan AS$45 juta daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano ke akaun BSI Bank Ltd Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Limited.

Riza Aziz didakwa melakukan perbuatan itu di BSI Bank Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura, masing-masing pada 18 Jun, 23 Oktober dan 14 November 2012.

Mahkamah turut menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 2:27pm
d