mutakhir

Alhamdulillah, bayi sihat...

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Bayi perempuan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di perumahan Pandan Damai, Kuantan, semalam, dianggarkan dilahirkan pada usia kandungannya ibunya memasuki 38 minggu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, ketika ditemui bayi berkenaan dipercayai baru sahaja dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat.

Katanya, bayi seberat 2.7 kilogram itu masih ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan berada dalam keadaan baik.

“Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM sudah melawat dan melihat bayi itu, semalam dan dia berada dalam keadaan baik dan sihat.

“Bagaimanapun, bayi itu akan terus ditempatkan di HTAA sehingga doktor berpuas hati dengan keadaannya sebelum dibenarkan keluar,” katanya, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, selepas dibenarkan pulang, pihaknya akan menempatkan bayi itu di institusi JKM atau diletakkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

Dalam kejadian 6.15 pagi semalam, seorang kerani lelaki menemui bayi berkenaan yang dibungkus dengan kain batik ditinggalkan di hadapan rumahnya.

Apabila bungkusan itu diperiksa, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati ia adalah bayi perempuan yang masih bertali pusat dengan sekeping nota ditinggalkan bersamanya.

Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading sebelum bayi itu dibawa ke HTAA untuk pemeriksaan lanjut.

Berita berkaitan

'Saya tak mampu, tolong ye kak'

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 2:51pm
d