mutakhir

17 individu dituduh tipu kerajaan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KERAJAAN hari ini memfailkan pertuduhan jenayah terhadap 17 individu termasuk bekas pengarah dan pengarah bagi tiga anak syarikat bank pelaburan, Goldman Sachs berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pertuduhan jenayah terhadap mereka difailkan mengikut Seksyen 367(1) dan dibaca bersama Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, 2007 (CMSA).

Dalam kenyataan dikeluarkan, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pada 17 dan 19 Disember 2018, pertuduhan jenayah (Seksyen 179) difailkan terhadap ketiga-tiga anak syarikat Goldman Sachs dan kakitangan utama mereka iaitu Tim Leissner dan Roger Ng, bersama Jasmine Loo Ai Swan daripada 1MDB dan Low Taek Jho.

Beliau berkata, mereka dituduh melakukan skim untuk menipu Kerajaan Malaysia dan pembeli ketiga-tiga bon dengan nilai muka sebanyak USD6.5 bilion yang ditaja jamin dan diatur oleh Goldman Sachs, serta diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB.

“Ia dilakukan melalui perbuatan dan secara bersubahat kenyataan yang palsu atau mengelirukan untuk secara tidak jujur menggelapkan berbilion daripada hasil terbitan bon terbabit.

“Manakala, pertuduhan pada hari ini dibawa mengikut Seksyen 367(1) CMSA yang memperuntukkan ‘mana-mana orang, seorang pengarah, ketua pegawai eksekutif, pegawai atau wakil badan korporat atau yang berupa sebagai bertindak atas sifat sedemikian’ pada masa perlakuan kesalahan di bawah akta tersebut adalah disifatkan telah melakukan kesalahan itu.

“Melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa persetujuannya atau pembiarannya, dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha wajar untuk menghalang perlakuan kesalahan itu sebagaimana sepatutnya dijalankan olehnya, dengan mengambil kira kapasitinya dalam badan korporat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Tommy berkata, Seksyen 367 ialah kodifikasi oleh Parlimen dan pengiktirafan prinsip asas ‘common law’ bahawa sesebuah syarikat hanya boleh bertindak melalui ejen manusia yang memberi arahan dan mengawalnya.

Yang mungkin bertanggungjawab secara jenayah bagi perbuatan syarikat itu yang ditegah atau menyalahi undang-undang yang mereka sendiri terbabit atau sepatutnya dikesan oleh mereka.

“Semua tertuduh ialah pengarah tiga anak syarikat Goldman Sachs ini antara Mei 2012 dan Mac 2013, iaitu tempoh berlakunya perbuatan yang membawa kepada pertuduhan Seksyen 179 terhadap syarikat mereka,” katanya.

Menurutnya, hukuman penjara dan denda akan dituntut terhadap semua tertuduh dalam pertuduhan Seksyen 367, mengambil kira keterukan skim untuk menipu dan juga penyelewengan penyalahgunaan berbilion dolar hasil terbitan bon.

Selain itu, katanya, tempoh panjang pelanggaran itu dirancang dan dilaksanakan, jumlah anak syarikat, pegawai dan kakitangan Goldman Sachs yang terbabit dan nilai relatif yuran serta komisen yang dibayar kepada Golden Sachs untuk pelbagai peranan dalam hal mengatur, menstruktur, menaja jamin dan menjual ketiga-tiga bon berkenaan.

Individu terbabit ialah Richard John Gnodde, Brian Griffiths, Michael Sydney Sherwood, Robin Antony Vince, Claes dan Ake Gustaf Dahlback daripada Goldman Sachs International.

Manakala, daripada Goldman Sachs (Asia) LLC pula ialah Oliver Robert Morgan Bolitho, Matthew Thayer Freemont-Smith, Frederick Towfigh, Archie William Parnell, Ronald Suk Bae Lee, Richard Mark Campbell-Breeden, Keith Leslie Hayes, Amol Sagun Naik, John Michael Evans dan Dimitrios Kavvathas.

Selain itu, Goh Boon Leng dan Liow Chang Lee daripada Goldman Sachs (Singapore) Pte.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 3:09pm
d