mutakhir

Buru lelaki Pakistan tetak bekas isteri

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS masih memburu lelaki warga Pakistan yang menetak bekas isterinya menggunakan golok di hadapan sebuah bank di Kuala Krai minggu lalu.

Dalam kejadian 11 pagi 1 Ogos lalu, mangsa berusia 48 tahun dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut berikutan putus urat tendon.

Suami mangsa berusia 45 tahun turut cedera di jari dan lengan berikutan berlaku pergelutan ketika menyelamatkan isterinya.

Bagaimanapun lelaki berusia 50-an itu melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, sehingga kini suspek masih belum ditemui.

“Penangkapan suspek dapat membantu melengkapkan siasatan kejadian itu. Usaha mengesan giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro melaporkan seorang wanita parah selepas ditetak beberapa kali oleh bekas suaminya dengan golok.

Suspek dikatakan berbuat demikian selepas cemburu bekas isterinya berkahwin April lalu.

Suspek mengekori mangsa dengan motosikal sebelum menyerangnya di hadapan sebuah bank.

Berita berkaitan

Lelaki Pakistan tetak isteri diburu

Parah ditetak bekas suami

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 4:28pm
d