mutakhir

Pertama kali anjur dah kena cekup

Oleh Nur Lela Zulkipli

MEKANIK yang dipercayai menjadi dalang penganjuran lumba haram diberkas polis di bengkelnya di Kampung Jawa, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada 3.30 petang susulan siasatan ke atas penganjuran perlumbaan haram di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), minggu lalu.

Katanya, polis turut merampas seunit telefon bimbit jenis Iphone 4s milik suspek.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit pertama kali menganjurkan perlumbaan haram itu dan ia berlangsung di lebuh raya KESAS.

“Dia juga ada tujuh rekod kesalahan lampau bersabit jenayah dan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsul Amar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes berlainan, penunggang motosikal berusia 22 tahun ditahan di premis makanan segera di Jalan Klang-Banting pada 4 pagi semalam kerana berlumba haram di lebuh raya KESAS.

“Polis menyita motosikal jenis Yamaha Lagenda yang diguna suspek dan dia disiasat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 4:48pm
d